• Kecewa program kurang sambutanIsmail Sabri (kiri) sempat meluangkan masa berbual dengan salah seorang usahawan muda yang hadir pada majlis tersebut.
 1 / 1 
BERA - Program Agropreneur Muda yang dilaksanakan pada tahun lalu gagal mencapai sasaran untuk melahirkan 1000 usahawan dalam tempoh setahun apabila hanya 354 usahawan sahaja yang bergerak aktif.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pencapaian ini sangat mengecewakan dan meminta semua agensi terlibat dalam program itu melakukan gerak kerja yang lebih agresif bagi mencapai sasaran 1,000 agropreneur muda pada tahun ini.

Menurutnya, sasaran ini boleh dicapai sekiranya agensi terbabit bersama-sama turun padang untuk mencari usahawan muda ini.

“Saya rasa kita boleh mencapai sasaran ini tetapi kalau kita tunggu orang datang mendaftar yang mana di peringkat daerah pun tunggu orang datang ke pejabat dan di peringkat negeri pun tunggu usahawan datang, kita tidak akan berjaya.

“Kita mesti lebih agresif, sekarang bukan minta orang cari kita tetapi kita cari orang sebab itu kita hendak supaya semua peringkat dan daerah menganjurkan program yang sama seperti ini iaitu seminar usahawan agrepreneur muda,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Agropreneur Muda di Dewan Majlis Daerah Bera, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Pengelola Mardi, Datuk Mohd Fadil Osman.

Menurut Ismail Sabri, walaupun setakat hari ini peserta yang mendaftar ialah seramai 3,963 tetapi yang mendapat pinjaman agak mengecewakan iaitu tidak sampai 10 peratus.

Katanya, pada tahun lalu sebanyak RM20.35 juta pinjaman telah diluluskan oleh agensi kewangan terbabit bagi memberi bantuan modal kepada 354 agrepreneur muda.

“Pada tahun ini sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program agropreneur muda bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan muda.

“Bagi membantu melahirkan agropreneur muda, pihak kementerian bukan sahaja memberi bantuan khidmat nasihat tetapi turut memberi geran bantuan sebanyak 30 peratus berupa barangan dan peralatan bagi memulakan aktiviti keusahawanan,” kata beliau.

Beliau berharap, program turun padang agroprenuer muda akan melibatkan semua agensi terbabit termasuk pihak kewangan dan dapat dilaksanakan secara berterusan di semua peringkat berikutan masih ramai yang kurang jelas mengenai program ini.

“Banyak kes saya lihat bukan disebabkan agensi terbabit tidak mahu memberi pinjaman tetapi kerana tidak cukup maklumat dan sebagainya. Cuma masalahnya di peringkat bank dan agensi kewangan ini mereka lambat memaklumkan kepada peminjam. Saya tidak mahu kelewatan ini akan membunuh semangat usahawan muda,” kata Ismail Sabri.